CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, February 13, 2009

APA ITU KAUNSELING?


  • Biasanya kaunseling dikaitkan dengan masalah. Apabila seseorang sedang bergelut dengan sesuatu masalah peribadi orang-orang di sekeliling akan menasihatkannya berjumpa kaunselor untuk mendapat bantuan secara profesional. Sebelum ini sesiapa sahaja akan bertindak sebagai penasihat atau penyelesai masalah walaupun tanpa kemahiran. Ramai yang menganggap masalah manusia adalah perkara biasa yang boleh diselesaikan oleh sesiapa sahaja. Biasanya dalam kelompok keluarga, orang-orang tualah yang menjadi tempat rujukan kerana mereka dikira telah banyak merasakan asam garam kehidupan berbanding dengan golongan muda.Sebenarnya adakah usia dan pengalaman itu memadai untuk menjadi seorang kaunselor? Sebelum kita menilai kelayakan seorang kaunselor, terlebih dahulu kita perlu tahu apakah sebenarnya yang ingin kita capai dalam kaunseling?Oleh kerana kaunseling merupakan satu proses membantu manusia, matlamat kaunseling semestinya berkait rapat dengan falsafah kehidupan manusia yang inginkan kebaikan dan kesejahteraan sejagat. Maka kehendak dan matlamat kaunseling adalah untuk membantu manusia memahami serta memanfaatkan potensi dirinya dalam mencapai kesejahteraan hidupnya.
  • Dalam kaunseling setiap individu mesti bertanggung jawab terhadap dirinya sendiri dan apa sahaja keputusan yang diambil bagi menyelesaikan kekusutan yang dihadapi. Tanggapan sesetengah orang bahawa kaunselor itu merupakan orang yang berkuasa dan bertanggungjawab menyelesaikan masalah orang lain adalah satu kekeliruan besar kerana kaunselor hanya membantu meneroka dan meluaskan paradigma pemikiran kliennya sehingga dia nampak jalan penyelesaian yang perlu diambil.Sesi pertemuan di antara kaunselor dan klien bukanlah sesi perbualan kosong tanpa sebarang matlamat. Sebenarnya seorang kaunselor perlu menggunakan kemahirannya untuk memahami, mengenal pasti, menganalisis percakapan, gerak geri dan air muka kliennya. Setiap perkaraan, gerak geri dan gambaran perasaannya perlu ditafsirkan bagi mengenal pasti perkara pokok yang memerlukan perhatian dan perubahan yang perlu dilakukan.Apabila seorang klien bertemu kaunselor lazimnya dia membawa kehendak atau matlamat tertentu. Dia mengharapkan penawar untuk mengubati kebuntuan yang sedang dialami. Kaunselor juga dalam melaksanakan tugasnya mempunyai matlamatnya sendiri.
  • Sebagai seorang profesional sudah tentu dia mengharapkan sesi kaunseling yang dijalankan itu memberi kepuasan kepada klien dan juga dirinya. Dia mengharapkan klien yang pada awalnya bermuram atau bermasam muka akan berubah menjadi ceria dengan senyuman yang berseri-seri. Dia akan berpuas hati sekiranya dapat memberikan sesuatu yang bermakna kepada kliennya.Sesi kaunseling yang berkesan akan terhasil sekiranya matlamat klien dan matlamat kaunselor dapat diselaraskan. Kaunselor akan dapat memikirkan sesuatu matlamat yang sesuai dengan keadaan dan kehendak seseorang klien. Matlamat ini dapat dikenalpasti daripada pernyataan masalah yang dikemukakan oleh klien dan penafsiran gerak gerinya.
  • Menurut Shertser dan Stone (1968), klien selalunya mengharapkan supaya dicabar, diuji, dianalisis dan diberitahu apa yang patut dan perlu mereka lakukan. Kaunselor pula tidak akan menetapkan tindakan yang perlu diambil oleh klien. Sebaliknya kaunselor akan membiarkan klien membuat pertimbangan sendiri mengikut jperasaan, fikiran dan situasi klien sendiri. Apa yang sesuai bagi kaunselor tidak semestinya sesuai untuk klien. Lagi pun klienlah yang akan merasakan manfaat atau tidaknya kesan tindakan yang bakal diambilnya. Untuk memudahkan kaunselor pernyataan masalah yang dikemukakan oleh klien boleh ditukar kepada matlamat yang ingin dicapai. Walaubagaimana pun apabila kira menetapkan sesuati matlamat ianya mestilah boleh dicapai, boleh diukur, realistik dan ada ketentuan masa perubahan yang sesuai.

0 comments: